Wednesday, 24 December 2014

Sambal Belacan Abam kedai Tomyam


Siapa tak makan sambal belacan memang auta lebih. Kangkung goreng belacan boleh pulak makan sedangkan bahannnya lebih kurang je. Resepi  ni sama macam sambal belacan kat kedai yang korang suka sangat tu. Jadi apa kata buat sendiri. Makan sampai puas Tak habis boleh simpan dalam peti ais

Secara asasnya cuma perlu cili api, bawang, belacan dan ikan bilis. Lepas tu perah limau kasturi dah siap. Kalau ini je bahannye pun dah cukup sedap tapi kali ni nak bagi resepi yang menambahkan kesedapannya lagi hehehe..

Ni lah resepinya....

1 biji tomato
3 biji lada hidup
15 biji cili api
belacan sebesar ibu jari
1 sudu makan udang kering
Segenggam ikan bilis
1 biji bawang holland
3 ulas bawang putih

Campur semua bahan ni dan kisar (blender). Tak perlu letak air pun sebenarnya tapi kalau adik-adik guna blender cap ahyam macam akak ni maka letaklah air masak sikiiittt je. Sebab pertama kalau tak ada air blender jem terus rosak pulak. Sebab kedua air kena sikit sebab bawang dan tomato tu kan berair nanti jadi stew pulak sambal belacan korang hahaha...Sebab ketiga letak air masak adalah sambal ni mentah.

Ok kalau rasa-rasa takut sakit perut boleh la masak semua bahan kat atas tu sebelum kisar
Caranya goreng atau kukus semua bahan kecuali belacan, ikan bilis dan udang kering. Belacan dibakar. Udang kering dan ikan bilis digoreng tanpa minyak. Tapi rasanya mungkin lain sikit lah.

Ok enjoy memijarkan mulut ye hehehe...



Monday, 15 December 2014

Asam Pedas senang dan sedap...



Tengok gambar tu sedap tak? Ceh puji diri sendiri pulak. Kali ni saya senaraikan bahan-bahan nak bagi mudah faham resepi. Tapi serius cakap saya memang tak pakar, semua ni campak-campak je. kalau dah biasa masak insyaAllah kita boleh agak kuantiti bahan tanpa rujuk resepi. Jadi rajin-rajinlah memasak..

Ikan kerisi
bendi
tomato
15 tangkai cili kering (rendam air panas dan toskan)
1 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 batang serai diketuk
1 inci kunyit hidup (pakai serbuk je)
daun limau purut/daun kesum
serbuk lada hitam
secubit halba
Air asam jawa
garam
gula

Macam biasa mula-mula panaskan minyak dulu.
Kisar cili kering, bawang merah,bawang putih, halia dan kunyit.
Minyak panas je masukkan halba. hati-hati jangan sampai hangus nanti pahit.
masukkan serai  dan bahan kisar. Kacau selalu.  Tumis sampai pecah minyak.  
Cili ni kena betul-betul masak kalau tak kurang sedap asam pedasnye.
Masukkan air. Pekat atau cair terpulang selera masing-masing.
Bila mendidih masukkan bendi dan ikan. kali ni saya guna ikan kerisi, kalau nak guna ikan lain pun boleh.
Sayur juga ikut pilihan kita. Nak letak terung pun boleh. Selera kan macam-macam. Kadang-kadang saya letak sawi jeruk, tapi kena pastikan dibasuh dengan betul dan rasa dulu masakan sebelum letak garam sebab sawi jeruk sedia ada masin.
Bila ikan hampir masak masuk sedikit lada hitam. Ini pun pilihan juga. Cuma nak bagi rasa pedas tu tajam dan bau lagi menusuk. Asam pedas johor memang letak lada hitam. Kalau nak rasa lagi best tumis masa awal-awal tadi.
Kemudian masukkan daun limau purut atau daun kesum. Salah satu lah ye. Tapi kalau rasa nak letak dua-dua pun boleh tak ada orang marah. Awak juga yang nak makan ye tak?
Akhir sekali masukkan air asam jawa. Guna air masak la masa ramas asam jawa tadi..
Perasakan masakan tu...seimbangkan rasa masin, masam dan pedas tu.
sebelum tutup api masukkan buah tomato. Kalau tak nak pun tak apa  Siap!!



Wednesday, 10 December 2014

Vadeh..vadai..Magelek..ape?



Resepi ni boleh dikategorikan sebagai kudap-kudap. Caranya pun mudah. Bahan pun senang. Jom kita cuba. Beli kat kantin pejabat ni dapatlah 3 keping RM 1.00. Apa kata kita cuba buat sendiri...

Mula-mula kenalah ada kacang dal @ dhal..sama je eh. Ejaan je lain hehehe. Ambil dalam 2 cawan rendam semalaman. Satu nak bagi kacang ni lembut, satu lagi nak bagi hilang bau yang tak sedap masa kacang tu mentah. Lepas tu toskan bagi kering sikit sebab nak guna blender kering. Masa kisar tu campur la ada kasar ada halus..sebab kalau halus sangat tak berasa pulak. Sukatan yang saya buat ni agak-agak je..

Kemudian cincang 1 biji bawang besar campurdengan kacang tadi. Masukkan jintan halus agak-agak 2 sudu teh. Kalau suka rasa rempah nak lebih pun boleh. Letak daun kari setangkai. Garam sikit. Lepas tu gunting cili kering 2-3 tangkai. Guna cili hijau pun boleh. Gaul sebati. Tak perlu letak air pun.

Panaskan minyak anggaran boleh goreng tenggelam bukan macam nak masak burger ye. Kena betul-betul panas supaya tak hancur kuih kita. Masukkan 3 ulas bawang putih dalam minyak. Ambil adunan tadi tepek kat tangan bagi bentuk bulat dan goreng. Terpulang lah nak besar mana. PENTING jangan balikkan selagi bahagian bawah belum garing. Kalau tak berderai lah dia. Hancur berkecai macam anai-anai hahahaha..

Kuih ni sedap makan panas-panas. Saya suka buat nipis sebab nak rasa rangup-rangup tu.  Cicah sos cili memang tak toleh kiri kanan dah.

Tuesday, 9 December 2014

Asam Rebus Ikan & Nasihat Sikit....



Bermula entri kali ini saya cuba ubah cara penulisan resepi. Bukan apa, saya rasa cara penerimaan seseorang adalah berbeza. Bila melayari blog-blog masakan terkenal saya rasa seronok dengan gaya bahasa dan gambar yang dipaparkan. Ada pembaca suka mencari resepi yang betul-betul ikut sukatan, ada yang suka resepi mudah a.k.a campak-campak(eden lah tu). Selera berbeza kan? Kalau tak pandai masak jangan susah hati sangat lah ye. Saya dulu langsung tak pandai masak. Asyik kena komplen je dengan ahli keluarga. Maklumlah abang seorang chef (5 star hotel). Tapi saya buat tak tahu je sebab saya yakin memasak tu mudah dan tak perlu pendidikan formal pun kalau kita rajin usaha.

Sekarang Alhamdulillah sedikit demi sedikit saya belajar. Bila resepi yang kita cuba menjadi seronoknya tak terkata. Bila orang makan puji sedap rasa lega. Paling tidak pun syukur sebab tak ada yang sakit perut sampai ulang alik ke tandas lepas makan masakan kita. Aduhai panjang pulak mokcik membebel kali ni. Jom tengok resepi campak-campak Asam Rebus Ikan.


Mula-mula bersihkan ikan. Saya guna ikan mata besar.
Ambil nenas moris setengah biji potong nipis-nipis. Kalau nak guna nenas sarawak ke nenas pontian pun boleh tapi jangan ambil yang terlalu masak nanti manis sangat kuahnya.
Lepas tu kisar cili kering (rendam air panas dan tos). Agak-agak 5-6 tangkai je cukup.
Kisar sekali cili tu dengan bawang merah 4 ulas, bawang putih 3 ulas, halia dan kunyit sebesar ibu jari
Tuang semua bahan kisar dalam periuk dan masukkan air. Didihkan dengan api perlahan sampai hilang bau maung cili dan kunyit mentah. Kacau sesekali.
Bila mula mendidih masukkan nenas dan biarkan hingga lembut sikit.
Selepas nenas lembut masukkan ikan dan akhir sekali masukkan sekeping asam gelugor.
Perasakan dengan garam dan gula (jika suka)
Siap....

Asam rebus ni kena ada rasa masam, manis dan sedikit pedas barulah sedap dihirup panas-panas. Balancing kena ada. Buka tayar kereta je ada tau.. Ikan tu boleh je nak ganti ikan apa-apa yang kita suka. Cili pula ada sesetengah orang guna cili api merah sebab nak bagi berapi mulut tu hehehe.Lagi satu kalau tak ada asam gelugor/keping boleh je guna air asam jawa. Senang kan...

Thursday, 4 December 2014

Sambal Tempe & Petai



Asal kampung selera pun macam orang kampung. Mana boleh lupa sambal & ulam. Kali ni nak kongsi resepi yang boleh buat kita yang tekak orang kampung ni tambah nasi berpinggan-pinggan hehehe...Resepi kali ni menggunakan petai jeruk. Kalau pakai petai fresh lagi la sedap tapi tak jumpa masa nak masak ni. Kalau makan dengan kulit barulah kick..!

Bahan-bahan
250 gm petai
Segenggam ikan bilis goreng
2 keping tempe dipotong nipis dan digoreng sebentar
1 biji bawang besar hiris kasar
Segenggam cili padi
5 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
2 sudu besar udang kering(rendam & toskan)
sedikit minyak masak
garam
gula

Cara-cara

Panaskan minyak.
Kisar bawang merah, bawang putih, ikan bilis dan cili padi.
Tumis bahan kisar sampai wangi.
masukkan petai kacau sebati.
masukkan bawang besar dan tempe
Perasakan dengan garam dan gula
Akhir sekali masukkan ikan bilis goreng dan kacau sebentar kemudian bolehlah tutup api.

senang je resepi ni. Kalau tak nak pedas boleh kurangkan kuantiti cili atau campur cili padi dengan cili hijau. Ada orang suka rasa masam-masam sikit jadi boleh tambah air asam, tapi jangan banyak-banyak sebab sambal ni sepatutnya kering je. Makan dengan nasi panas-panas memang layan.

Monday, 1 December 2014

Ayam Blackpepper Versi sesedap rasa



Untuk resepi pertama saya kongsikan resepi mudah iaitu ayam blackpepper. Blog ini diwujudkan pun sekadar mahu berkongsi ilmu masakan yang mudah supaya semua orang boleh memasak. Jom lihat resepi..

2 keping dada ayam dipotong kecil (nak bahagian lain pun boleh)
1 biji brokoli (potong kecil)
1 batang lobak merah (dipotong memanjang)
1 biji tomato (dibelah 6)
1 biji bawang besar (dipotong baji)
3 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
halia sebesar ibu jari
2 sudu besar sos tiram
3 sudu besar kicap manis
1 sudu besar lada hitam (kisar)
2 sudu besar minyak
3 sudu besar air asam jawa

Cara-cara

Panaskan minyak. Kisar bawang merah, bawang putih dan halia. Tumiskan
Bila naik bau masukkan ayam. Biar kecut sedikit.
Masukkan lada hitam, sos tiram, kicap manis dan bawang besar. Kacau lagi.
Bila sudah mendidih masukkan lobak merah kacau sekejap baru masukkan brokoli
Akhir sekali masukkan air asam jawa, kacau sekejap barulah masukkan tomato dan tutup api.

Saya tidak meletakkan garam kerana sos tiram sudah masin tapi terpulang pada selera masing-masing. Asam jawa adalah pilihan sama ada mahu diletak atau tidak kerana ada yang kurang suka rasa masam-masam dalam masakan, begitu juga  sayur-sayuran. 

Biasanya saya membuat hidangan ini bila ada lebihan sos lada hitam selepas membuat masakan 'western' atau bbq. Resepinya akan saya kongsikan lain kali ya..

Selamat memasak...!


 

Bismillah..

Assalamualaikum..

Dunia masakan bukanlah kepakaranku. Apa yang dipaparkan hanyalah sekadar resepi mengenyangkan perut sendiri. Tiada niat untuk menandingi mana-mana blogger masakan yang tersohor. Segala yang ada di sini hanya resepi mudah-mudah sahaja.

Selamat memasak....!