Tuesday, 9 December 2014

Asam Rebus Ikan & Nasihat Sikit....



Bermula entri kali ini saya cuba ubah cara penulisan resepi. Bukan apa, saya rasa cara penerimaan seseorang adalah berbeza. Bila melayari blog-blog masakan terkenal saya rasa seronok dengan gaya bahasa dan gambar yang dipaparkan. Ada pembaca suka mencari resepi yang betul-betul ikut sukatan, ada yang suka resepi mudah a.k.a campak-campak(eden lah tu). Selera berbeza kan? Kalau tak pandai masak jangan susah hati sangat lah ye. Saya dulu langsung tak pandai masak. Asyik kena komplen je dengan ahli keluarga. Maklumlah abang seorang chef (5 star hotel). Tapi saya buat tak tahu je sebab saya yakin memasak tu mudah dan tak perlu pendidikan formal pun kalau kita rajin usaha.

Sekarang Alhamdulillah sedikit demi sedikit saya belajar. Bila resepi yang kita cuba menjadi seronoknya tak terkata. Bila orang makan puji sedap rasa lega. Paling tidak pun syukur sebab tak ada yang sakit perut sampai ulang alik ke tandas lepas makan masakan kita. Aduhai panjang pulak mokcik membebel kali ni. Jom tengok resepi campak-campak Asam Rebus Ikan.


Mula-mula bersihkan ikan. Saya guna ikan mata besar.
Ambil nenas moris setengah biji potong nipis-nipis. Kalau nak guna nenas sarawak ke nenas pontian pun boleh tapi jangan ambil yang terlalu masak nanti manis sangat kuahnya.
Lepas tu kisar cili kering (rendam air panas dan tos). Agak-agak 5-6 tangkai je cukup.
Kisar sekali cili tu dengan bawang merah 4 ulas, bawang putih 3 ulas, halia dan kunyit sebesar ibu jari
Tuang semua bahan kisar dalam periuk dan masukkan air. Didihkan dengan api perlahan sampai hilang bau maung cili dan kunyit mentah. Kacau sesekali.
Bila mula mendidih masukkan nenas dan biarkan hingga lembut sikit.
Selepas nenas lembut masukkan ikan dan akhir sekali masukkan sekeping asam gelugor.
Perasakan dengan garam dan gula (jika suka)
Siap....

Asam rebus ni kena ada rasa masam, manis dan sedikit pedas barulah sedap dihirup panas-panas. Balancing kena ada. Buka tayar kereta je ada tau.. Ikan tu boleh je nak ganti ikan apa-apa yang kita suka. Cili pula ada sesetengah orang guna cili api merah sebab nak bagi berapi mulut tu hehehe.Lagi satu kalau tak ada asam gelugor/keping boleh je guna air asam jawa. Senang kan...

No comments:

Post a Comment